salam kasih sayang berpanjangan...

Selamat datang dan selamat berkenalan kepada semua 'blogwalking'. Kalau dah menjengah tu, tinggalkanlah mesej supaya saya dapat 'walking' ke blog anda pula. ahaks :)
"It's good to know something new."

Monday, October 21, 2013

Tips Merawat Nipple Crack@Puting Rekah

2 Ogos 2013@10.15 pagi -- Hari lahir Audra Zarish binti Rusli. Ceritanya lain kali, setelah berehat seharian, ibu dan baby sama-sama kepenatan semasa proses kelahiran; petang itu nurse bertugas mengalakkan penyusuan susu ibu dimulakan. Bagus untuk baby terutamanya kolostrum susu yang banyak khasiat bla bla bla...

Saya dah start risau sebab mengenangkan lapan tahun lalu, Ajmila Zarif (Kakak) berhenti menyusu susu badan pada usianya enam bulan kerana masalah puting retak yang teruk. Sebenarnya kerisauan itu bermula sejak mula hamil dulu, bimbang masalah sama berulang. Sekeliling aerola kedua-dua belah payudara luka dan rekah. Seksanya apabila dia menyusu membuatkan saya mengurangkan kekerapan penyusuan menyebabkan susu akhirnya kering. Sungguh sedih kerana hasrat untuk menyusukannya selama dua tahun penuh tidak terlaksana. Serasa berpisah dengan anakanda tercinta. 

Jadi, apabila nurse mula mencadangkan baby Audra agar disusukan, kerisauan itu menjelma kembali apatah lagi puting mula pedih dan sakit. Nota-nota tentang cara penyusuan betul yang tertampal di wad bersalin saya fahamkan betul-betul, serap dalam kepala dan bandingkan dengan keadaan saya. Mengapa puting retak/rekah antara sebabnya:-

1. Mulut bayi hanya menghisap puting, bukan aerola iaitu kawasan kilang susu.
2. Posisi yang salah.
3. Iritasi pada kulit di bahagian aerola yang nipis dan mudah luka.

Kasihan baby Audra, setiap kali dia mengangakan mulut kecilnya untuk menyusu, saya seolah-olah menyumbatkan mulut itu sepenuh-penuhnya agar seluruh kawasan aerola masuk ke mulutnya yang kecil comel itu. Dalam hati mahu melawan nurse -- "Mulut baby kan ke kecik, manalah nak muat seluruh kawasan aerola yang besar tu!" 

Tapi, sudahnya janji di Luh Mahfuz sana, puting saya tetap rekah cuma kali ni kecil je rekahnya dalam 1/2cm sebelah kiri dan kurang 1/2cm sebelah kanan. Nampak kecil tapi tiap kali baby Audra hendak menyusu, mental juga dibuatnya. Sakitnya Allah saja yang Maha Mengetahui, siap rasa hendak terbuang airpun ada. Sampaikan baru seminggu si kecil itu merasa air susu ibunya, dalam tangisan saya bermesyuarat dengan suami untuk berhenti memberi susu badan. Sungguh sakitnya!

Begitupun mulut saya ringan mengadu kepada jiran-jiran yang datang melawat baby Audra – satu tradisi di kampung kami ialah aktiviti lawatan beramai-ramai meraikan kelahiran bayi baru di sekitar kejiranan. Apa lagi, panjang senarai rawatan tradisional yang dicadangkan oleh jiran dan rakan.

Jururawat Desa (JD) dan beberapa rakan memberi petua menyapukan susu selepas menyusukan baby Audra. Dua minggu berlalu, cara itu ternyata gagal. Ahli keluarga saya – si abang Ajmal, kakak Mila dan Abahnya jenuh melihat tayangan percuma kerana payudara saya tidak boleh terkena apa-apa termasuklah fabrik. Jika terkena, sakitnya bercampur antara bengkak susu dan puting rekah. Dalam tempoh dua minggu itu, baju hanya dilabuhkan jika ada tamu berkunjung.

Cadangan rawatan:-

1.      Menyapu lebihan air susu ibu di sekeliling dan di kawasan luka rekah. Jika tiada lebihan susu, picit kawasan kilang susu (aerola sekeliling puting) dan sapu pada luka. Bagi saya, dua minggu mencuba cara ini tidak berkesan, tapi saya teruskan juga di samping cara lain.
2.     Minyak gamat. Saya tidak tergamak mencubanya kerana memikirkan baby akan hisap. Walaupun dicuci, saya tidak yakin dengan kesan minyak gamat. Minyak gamat bukan untuk dimakan, ye tak!? J
3.     Minyak zaitun@minyak bayi. Ada sesekali kerana buntu saya cuba sapu minyak ni, tapi macam tiada kesan juga.
4.     Pergi berurut di Kuantan, Tok Bidan menjerit suka, “ala la la... sapu gincu je!” Terus saya cuba sapu lipstik. Merah la pulak kawasan luka tu. Habis lapik bra merah berkrim terkena lipstik. Lepas tu kena sentiasa cuci sebelum menyusu bimbang baby menelan lipstik, bahaya pula. Kakak menyarankan agar gantikan dengan lip balm@pelembap bibir. Masuk minggu ke-3, masih begitu juga.

Pakai jenis Nutrimetics kaler apa ntah, pastu ganti dengan Nutrimetics Lipbalm. Habis satu tiub, rekah begitu juga...

5.     Rakan dari Kuantan singgah menziarah sempena Aidilfitri pada minggu keempat berpantang. Beliau mencadangkan dicari pula petroleum jelly di farmasi. Terus suami bergegas ke farmasi, beli dan sapu setiap kali lepas baby menyusu. Kadang-kadang bangun malam-malam lap nanah pada luka dan sapu lagi jelly ni. Luka semakin kering dan mengecil bukaannya (bahagian luka yang terbelah tu menjadi kulit baru yang nipis, tapi masih luka la...). Masalahnya, kalau pakai bra, kawasan luka sentiasa basah dan bernanah bercampur krim jelly. Kena lap dulu sebelum beri baby menyusu. Jadi, apabila dah sapu jelly ni, lepas tu tayang je la breast tu tapi dalam bilik la. Ataupun tutup pakai lampin nipis tu supaya luka sentiasa kering. Jelly ni cepat kering jadi saya sentiasa sapu apabila nampak kering dan tak perlu lap jika hendak menyusukan baby.  Memang maintain sapu jelly ni sampai luka sembuh sepenuhnya pada hari ke-44 berpantang.

6.     “Alahai, pakai bedak Pureen je,” kata Kakak Khadijah saya pula, yang datang melawat setelah sebulan dalam pantang. Bedak brand lain tak boleh ke? Nope! Serta-merta hadiah set penjagaan bayi jenama Pureen pemberian Adinda Kamil dibuka, ambil bedak dan tabur atas luka rekahan.  Luka kering, cuma masalahnya bedak Pureen ni, kalau kita pakai bra, akan kering melekat-lekat dan kena lap dengan tisu basah sebelum menyusukan baby.  Luka memang automatik kering tapi leceh. Kekadang sebab bedak tu melekat, cuci punya cuci luka boleh berdarah. 


TQ Adikku Kamil sebab kasi hadiah set ni. tak payah beli masa nak guna bedak Pureen tapi sayangnya kurang selesa untuk nipple crack atas sebab-sebab yang tercatat :) Pakai lepas mandi ok, he he...

Jadi  kesimpulannya, saya rasa petroleum jelly serasi dengan saya dan percaya hal ini juga merupakan dugaan untuk saya semasa berpantang sebab cukup 44 hari, it’s gone like magic!

Ni le rupanya Petroleum Jelly tu. Cuak jugak tapi member kata tak perlu cuci kalau baby nak menyusu, terus boleh bagi je. 
Ada orang kena duga dengan anak menangis siang malam macam Ahmad Albab, lebih teruk diserang angin meroyan yang menakutkan. Saya bertuah sebab baby Audra tidak apa-apa. Paling teruk dia meragam menangispun sampai pukul 12.30 tengah malam, dia lelap sampai pagi. Menyusupun perlu dikejutkan. Alhamdulillah.

So,

1.      Teruskan penyusuan, cekalkan semangat, tahan je la sakit tu.
2.     Tengok muka baby masa dia menyusu atau tidur, kesian baby, kan... kecik-kecik dah tak dapat menyusu susu ibunya kalau kita berhentikan susu dia kerana teramat sakit.
3.     Layari internet dan cari cara untuk merawat luka rekah, berkongsi pengalaman. Anda juga boleh dapat semangat untuk terus menyusukan dengan nasihat-nasihat daripada ibu-ibu yang senasib dengan anda. Serius. Saya yang tak tahan daulat nak berhentikan baby Audra menyusu ni pun dapat semangat daripada blog di internet. Cekalkan semangat beri je dia menyusu sambil ketap-ketap bibir kesakitan. Masa tu jangan siapa-siapa dekat, orang tengokpun boleh rasa sakit berdenyut-denyut. Bisingpun dilarang sama sekali. Masa menyusu adalah masa ibu dan baby Audra, kan baby kan?

Begitulah adanya... 221013@145pm

Baby Audra Zarish -- present.

Secomel ini manalah sanggup bercerai susu semasa dalam pantang lagi, ye tak? So, cekalkanlah hati :) Love you baby Audra -- day 1.





Wednesday, October 9, 2013

Salam Akhir Tahun 2013 :)

Masya-Allah, hampir dua tahun rupa-rupanya tak ber'blog', terkejut melihat new look dashboard blog aku!!! Mujurlah terjumpa 'view blog'-- Oh, ada lagi rupanya! Teruk betul ketinggalan dalam teknologi apabila banyak keutamaan lain menepis kegilaan menulis. Menulis kali ini pun sebab mengisi masa kerana terperangkap dalam talian yang sangat lembab untuk menambil ujian ICT Azurenet. Apa la KPM ni, slow betul. Beri deadline hari ni beberapa jam lagi, tapi dalam dua jam ini saya hanya dapat menjawab empat soalan sahaja!

Hi, there! Selamat bertemu kembali. Banyak yang berubah setelah setahun tidak ke talian. Bentuk badan saja kekal, ahaks. Sekurang-kurang tidak bertambah rendang gitu. Dalam 22 bulan ini, terlalu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan saya. Paling mengesankan dan meninggalkan segarit parut di hati saya ialah kehilangan janin pada Disember 2011 yang dijangka lahir pada 17 Julai 2012. Hibanya hati Allah sahajalah yang merawatnya. DIA mengantikannya dengan Audra Zarish binti Rusli yan diputerikan pada pagi Jumaat 2 Ogos 2013 yang lalu -- tidak jauh jaraknya dengan tarikh lahir 'abang'nya Azarel Zikry jika diizinkan Allah melihat dunia tahun lalu. Semoga ke syurgalah janin kecintaan ayah bonda itu (saya menitiskan airmata ketika menulis ini).

 Begitupun, ingatan terhadap Azarel tidak pernah akan terpadam kerana ramai kenalan menimang cahaya mata seusia dengannya seperti Rin (http://sitizurinamatsaman.blogspot.com), Along sebelah rumah di Lepar, sepupu Norihan Ismail dan beberapa nama lagi. Sekurang-kurangnya melihat anak-anak mereka, menghantar ibu ke daerah kenangan mabuk selama dua minggu sebelum kehilanganmu, anakku. Sementelah dalam keluarga kami sudah lama tidak ada 'baby', kehilangan Azarel sangat terkesan kepada semua ahli keluarga. Dia memilih untuk tidak dilahirkan dan hanya sempat berlindung selama usianya 11 minggu dalam kandungan saya. Alangkah hibanya ketika keluar dari hospital sambil meriba plastik berisi uri dan janin, traumanya terasa hingga kini. Sampai sekarang Ajmal selalu menjawab, "adik-beradik ada empat orang, seorang lelaki meninggal dunia dalam perut ibu."

 Kehadiran Audra Zarish sebagai pengganti adalah anugerah sebesar-besar alam. Memandang wajahnya seperti melihat cahaya suria yang segar bersinar, bagai bungaan yang mekar harum, cerah, segar dan memberikan inspirasi. Audra menerima perhatian seluruh ahli keluarga hingga si kecil itu tidak tahu untuk berbuat apa dengan kasih sayang yang melimpah ruah. Ada masa terluang nanti, akan saya ceritakan kisah kelahiran Audra yang sangat istimewa itu. Buat masa ini, hati masih terheret kisah duka kehilangan kandungan dua tahun yang lalu. Jumpa lagi.

Pesanan Bonda Kuatkan Semangat:-
1. Sisihkan 1% dalam diri untuk kemungkinan-kemungkinan yang tak diduga.
2. Banyakkan membaca tentang kehamilan supaya anda sentiasa bersedia.
3. Tetapkan hati, kuatkan semangat bahawa ujian orang lain tentu lebih berat. Bukan aku seorang saja yang pernah mengalami kegagalan dalam kehamilan.
4. Menangis tidak mengapa tetapi bukan hingga merosakkan fikiran anda.
5. Berceritalah dan berkongsi pengalaman kerana anda akan tersedar bahawa sekurang-kurangnya satu daripada tiga wanita pernah mengalami keguguran. 
6. Redha.
5. Banyakkan doa dan cuba lagi. bagaimanapun, dapatkan nasihat doktor anda kerana bagi wanita yang sihat, tempoh yang baik untuk kehamilan seterusnya ialah enam bulan. 

Popular Posts