salam kasih sayang berpanjangan...

Selamat datang dan selamat berkenalan kepada semua 'blogwalking'. Kalau dah menjengah tu, tinggalkanlah mesej supaya saya dapat 'walking' ke blog anda pula. ahaks :)
"It's good to know something new."

Tuesday, July 6, 2010

"Maafkan cikgu, Nani."


Pulang dari tempat kerja petang ini, saya teresak-esak di tikar sejadah. Mengenangkan betapa keprihatinan saya telah ditelan oleh secebis pengalaman pahit bersama-sama seorang pelajar kira-kira sepuluh tahun lalu. Momen hitam itulah yang menjarakkan hubungan saya dengan pelajar-pelajar saya sejak hari pertama saya melapor diri sebagai guru. Apabila difikir-fikirkan, memang tidak patut saya menjadikannya tembok kebal antara saya dan para pelajar, tetapi entahlah…

Wajahnya yang bujur sirih, pipi penuh dan bentuk bibir yang bagai sentiasa tersenyum manis mengingatkan saya kepada anak buah di kampung. Itulah pun ayat pertama saya menyapa gadis pendiam ini ketika melangkah kali pertama ke kelas 3 Sejahtera pada 2008. Dia hanya tersenyum hormat.

“Wajah awak iras betul dengan anak buah saya,” dan namanya terus melekat kuat dalam ingatan saya dalam keadaan saya mengajar tujuh kelas pada 2008, mengingati nama pelajar seramai lebih 100 orang memang agak sukar.

Sejak itu, memang dia menjadi perhatian saya, membantunya mendapat A dalam subjek Bahasa Malaysia PMR. Melangkah ke tingkatan empat, kami berpisah. Tegur sapa hanya bertukar-tukar salam dan senyum. Saya selalunya menegur lebih dulu kerana dia ini pendiam orangnya. Selalu saya menyapa “hai, my sweetgirl…!” dan dia hanya menyambut dengan senyuman yang ramah dan manis seperti biasa.

Pendapat peribadi saya, usah terlalu banyak tahu tentang seseorang pelajar kerana akan susah jadinya nanti. Pelajar datang daripada latar belakang yang pelbagai dengan rencam kisah hidup yang juga berbagai-bagai. Saya bukan sesuka hati berpendapat begitu kerana saya pernah terlibat dengan masalah pelajar yang membuatkan saya serik. Adakala, kita buntu untuk membantu manakala memandang saja akan membuatkan diri dirantai rasa bersalah yang berpanjangan. Saya kira, itulah dilema guru-guru kita yang berhadapan dengan pelbagai kisah anak-anak murid masing-masing.

Pagi tadi, saya menghadiri perhimpunan harian dan Cikgu Asmawi menyebut senarai nama anak-anak yatim yang terlibat dengan satu program peringkat daerah. Dia bersama-sama berkumpul dalam kumpulan itu dan saya terpana… Eh, dia anak yatim? Sejak bila?

Cepat-cepat saya memanggil rakannya, Siti dan bertanyakan lebih lanjut. Rupa-rupanya dia kematian emak sejak berusia lima tahun, anak bongsu dan kini tinggal berdua dengan ayahnya sahaja. Cuainya saya kerana tidak pernah ambil tahu tentang latar belakang gadis itu. Sudah hampir tiga tahun saya mengenalinya dan sentiasa berpapasan di koridor, saya langsung tidak cakna. Argh…!!

Masa luang kelasnya di perpustakaan, saya mengambil peluang bertanya lebih lanjut.

“Dah tak ingat sangat kenangan dengan emak, cikgu. Masa tu saya kecil lagi,” jelasnya lembut. Airmata saya jatuh ke dalam mendengar jawapannya. Teringat dia sebaya anak perempuan saya kini semasa ditinggalkan ibunya dulu. Dia bercerita perlahan-lahan menjawab setiap soalan saya; beraya di kampung sebelah emak setiap kali Aidilfitri, “ayah yang masak masa sekolah, kalau masa cuti sayalah yang masak, cikgu.”

“Aidildha biasanya kakak saya yang masak, kami beraya di sini saja.”
“Semua abang dan kakak saya tinggal jauh, cikgu. Sayalah peneman ayah.”
“Macam-macam sakit emak dulu. Jarang-jaranglah cakap pasal emak, cikgu. Nanti sedih pula…” luluh jiwa saya mendengar jawapan tulus seorang anak yang telah 12 tahun kehilangan kasih sayang dan belaian seseorang bergelar emak. Alangkah sedihnya hati, alangkah hibanya apabila kawan-kawan lain berpeluang merasa masakan ibu setiap hari, istimewa pada Aidilfitri mulia, tapi dia sudah lama melupakan saat-saat istimewa itu. Jika momen itu hadir sekalipun, tentulah samar-samar kerana memori seusia 5 tahun telah jauh ditinggalkan.

Saya pernah terpandang dia berjalan kaki pergi balik dari sekolah. Apabila ditanya, katanya rumah jauh juga tetapi sudah biasa berjalan kaki, dan saya tidak terpanggilpun untuk memikirkannya, jauh sekali untuk menumpangkannya pulang. Sungguh, momen pahit semasa bergelar guru sandaran dahulu meragut nilai empati daripada diri saya. Mengapakah saya trauma sebegini rupa sehingga sisi kesedihannya terpaksa dilalui dan ditelannya sendiri? Malah jika berkongsi sekalipun, hanyalah dengan teman-teman seusia yang mampu mendengar tanpa dapat menjadi pengganti seorang ibu.

Patutlah dia membesar sebagai remaja pendiam dan terkawal. Tentu ayahnya mendidik dengan baik. Semoga dia dapat meneruskan kehidupannya dengan kasih sayang bapa dan abang kakaknya tanpa berasa apa-apa kekurangan.

Berada di tingkatan lima sekarang, saya berasa terkilan kerana agak lambat untuk mencurah rasa prihatin dan mengasihinya. Saya tidak berhasrat langsung dan tiada kelayakan untuk menjadi pengganti ibu yang telah berpulang ke Rahmatullah, Cuma saya ingin memberikan sedikit rasa mempunyai seorang ibu dalam meniti saat remaja yang mencabar ini. Rasanya kehadiran seorang ayah mungkin tidak lengkap kerana ada sisi peribadi lain yang janggal dikongsi dengan ayah, ingin sekali saya mengisi tempat seorang ibu untuknya. Sementelah dia belum mengisi kekosongan itu dengan seorang teman lelaki, mahu saja saya melamarnya menjadi anak remaja saya. Kalaulah diturut rasa hati...

Begitupun saya percaya, kehidupan yang dilaluinya sejak 12 tahun lalu sudah menjadikannya lali meskipun pulangnya dari sekolah hanya disambut ayah; terpaksa mengambil alih tugas emak memasak dan mengelolakan rumahtangga berbakti untuk ayahnya, dan menguruskan keperluan dirinya tanpa bantuan emak. Pasti semuanya sudah menjadi satu kebiasaan meskipun sesekali kerinduan dan hiba bertandang juga. Sabarlah Nani, kamu beruntung terpilih menerima anugerah Allah bergelar anak yatim sejak kecil.

Pastinya bukan dia seorang bernasib sebegitu, selamilah latar anak-anak murid kita, tentu warnanya begitu abstrak... dan adakala kita buntu bagaimana mahu bereaksi?

Saya kehilangan emak semasa usia 25 tahun, namun lukanya tidak pernah sembuh. Meskipun berpeluang bersama-sama emak selama 20 tahun lebih lama berbanding dia, saya berasa separuh kehidupan yang saya lalui sama sepertinya.

Rumah kami sepi dan lengang, laman kami lapang tanpa bungaan mekar seperti laman jiran-jiran. Namun, saya sentiasa berusaha mencairkan kebekuan itu dengan bukaan tingkap yang luas membenarkan cahaya mentari menyinari rumah kami yang suram. Jika saya berada di rumah, semua jendela terbuka luas memanggil keceriaan agar menerobos ke ruang kediaman kami.

Adakala apabila rindu bertandang, saya membuka pintu dapur memandang redup petang atau gerimis yang gugur, menunggu kalau-kalau emak yang pergi 'entah ke mana' itu pulang akhirnya. Bukan menafikan suratan, namun itulah interpretasi kehibaan dan rindu seorang anak yang ditinggalkan... Begitulah hidup ini, tiada yang abadi... ;)

2 comments:

caterina chalis said...

~when i read this story..its recall all the thoughts about our late 'wan'...lucky still have 'ibu'...but wonder what if she not around anymore...hidup itu insya-allah, mati itu pasti...~

sis_fazi said...

sesekali membaca tulisan sendiri, syok sendiri la pulak. berbakat jgak menyusun kata2 kan... he he he
semoga ada yg mewarisi :)

Popular Posts