salam kasih sayang berpanjangan...

Selamat datang dan selamat berkenalan kepada semua 'blogwalking'. Kalau dah menjengah tu, tinggalkanlah mesej supaya saya dapat 'walking' ke blog anda pula. ahaks :)
"It's good to know something new."

Thursday, October 23, 2008

rumah terbuka satu budaya?


Assalamualaikum, apa khabar pembaca di luar sana? Bertemu lagi buat kesekian kalinya dalam syahdu Aidilfitri yang kian berada di penghujungnya. Maaflah kerana BS lewat terbit sementelah motivasi kerjapun seperti berada si penghujung juga, bagai Aidilfitri yang kian berlalu.
Seminggu dua ini, rancangan untuk balik kampung atau berjalan keluar dari negeri Pahang ini harus ditunda akibat diari yang penuh dengan jemputan rumah terbuka di sana sini. Kebanyakannya kenalan rapat dan rakan sekerja, tidak pergi serba salah juga.
Hendak diulas di sini, rumah terbuka kini seolah-olah menggantikan budaya kunjung mengunjung pada 1 Syawal. Usaha tuan rumah meraikan rakan taulan yang tidak bersama-sama semasa minggu pertama memang dipuji. Cuma yang tidak sedapnya, ada pula tuan yang rumah yang bertanya: “tiap-tiap tahun kau asyik datang rumah aku saja, bila pula aku boleh datang ke rumah terbuka kamu?”
Rasa hendak dilempar saja juadah yang dimakan ke muka tuan rumah yang sebegitu rupa. Ini hendak menjamu dan meraikan rakan-rakan, atau sengaja hendak menunjuk-nunjuk? Tidak datang nanti, bertanya-tanya pula. Datang setiap tahun, begitu pula reaksinya. Apa pula agaknya ulasan untuk teman-teman yang tidak mengadakan rumah terbuka, ya?
Kepada saya, inilah buruk baiknya rumah terbuka apabila kian membudaya dalam masyarakat Melayu. Seolah-olahnya, hari lain sudah tidak boleh bertandang pula. Jika tujuannya untuk mengeratkan silaturahim, makanya usaha tuan rumah itu sangat digalakkan. Peruntukan pula ada, apalah salahnya meraikan teman-teman. Cuma, jika niat itu terpesong, sia-sia sahaja berhabis wang dan berpenat lelah.
Bagi saya, rumah saya sentiasa terbuka untuk saudara mara dan teman-teman. Datanglah dan kita makan juadah yang ada. Memang adat orang Melayu terutamanya di Pantai Timur ini, kehadiran tetamu akan dirai sebaik-baiknya. Datanglah tidak kira masa, paling tidak mesti menjamu nasi berlauk.
Adakalanya kehidupan di bandar menjadikan saya begitu rindu terhadap suasana desa. Kalau dahulu, waktu petang adalah masa berbual ringan bersama jiran dan rakan-rakan. Selalu juga saya merungut kepada suami, di manalah saudara-mara, rakan taulan pada hari minggu begini, tidak mahukah datang ke rumah kita. Saya ini suka memasak dan menjamu orang, cuma kediaman kami yang mempunyai ruang yang agak terhad ini yang membataskan segala hasrat. Takkan hendak menyewa hotel pula, ya?

No comments:

Popular Posts