salam kasih sayang berpanjangan...

Selamat datang dan selamat berkenalan kepada semua 'blogwalking'. Kalau dah menjengah tu, tinggalkanlah mesej supaya saya dapat 'walking' ke blog anda pula. ahaks :)
"It's good to know something new."

Thursday, June 10, 2010

strawberry everywhere....

Mila suka sangat strawberry segar dimakan begitu sahaja, Ajmal x pandang pun... but, bila I buat strawberry chocolate... Ajmal makan x ingat orang lain dah... pulun sakan!!!

Hari ini hari ketiga kami sekeluarga menghabiskan percutian ke CH. Sebenarnya saya membeli satu pakej percutian Leisure Holidays semasa MATA Fair tahun lepas. Selepas beberapa tahun bekerja, pertambahan tugas meletakkan saya dalam tekanan kerja yang tidak dirasai pada tahun-tahun terawal perkhidmatan. Sudah beberapa lama sebenarnya saya menimbang untuk membeli pakej percutian kerana pergi bercuti kelihatannya seperti suatu keperluan pula kepada diri saya untuk meredakan bebanan tugas yang menekan saban hari.

So, CH masih dingin seperti 10 tahun dahulu agaknya. Saya berpeluang merasai kesejukan malamnya yang mencengkam (kalau air-cond kan boleh dikawal!), paginya yang dingin berkabus dan petang yang nyaman. Juga berpeluang menikmati kehangatan mentari tengah hari walau sebentar.

CH masih dara ketika ini. Tidak banyak pembangunan yang dirancang agaknya. Harap-harap tiada bangunan konkrit ditambah (harapan cuma…). Sungguh ironis apabila pencerobohan tanah-tanah hutan CH berlaku berleluasa ketika ini dalam keadaan pekannya masih terpelihara berbanding Pulau Langkawi yang sudah diperkosa kemajuan! Mana tidaknya. lawatan kami tahun lalu setelah meninggalkannya selama 10 tahun, saya terkilan sungguh melihat Kuala Lumpur berada di Pulau Lagenda itu. Pantai Cenang bertukar wajah 100 peratus.

Saya masih ingat dulu saya amat santai menikmati ombak Pantai Cenang yang berair sejernih kristal, melihat dan hampir dapat menyentuh ikan-ikan yang jelas kelihatan berenang di dalam air lautnya yang biru. Jeti tempat feri berlabuh juga dikelilingi kejernihan air laut yang membiru… Kini, jika ingin mandi laut berair jernih, kita perlu mengikuti pakej lawatan ke pulau-pulau lain yang belum tercemar pula di sekeliling Langkawi. Betapa nazaknya pantai Langkawi yang original; malah laut jeti sudah menjadi kembar jeti Pulau Pinang pula!

Kembali ke CH, ramai rakan berkempen tentang murahnya harga sayuran di tanah tinggi itu. Saya ke pasar setiap hari. Lucunya saya kerap mendengar pelanggan merungut harga sayuran lebih mahal berbanding di bandar-bandar lain.

“Kalau harga lebih mahal daripada di bawah, penat saja saya naik ke atas, ingatkan harga sayuran murah,” rungut seorang wanita di gerai sayuran Pasar Minggu Brinchang.

“Nak cari gerai Melayu pun susah,” keluh pula suami apabila saya terbeli kuih cucur di gerai yang menggunakan khidmat buruh Indonesia sebagai jurujual. Buang sajalah nampaknya.

“Nak buat macam mana, diaorang yang datang dulu ke sini. Ini tempat mereka,” kata pula makcik di Ladang Strawberry Haji Jaafar di Kampung Sedia apabila saya menyuarakan isu itu ketika memetik buah yang meranum.

“Kalau nak datang, datanglah pagi-pagi. Banyak strawberry masak. Tapi, cuti sekolah macam ni, habis buah masak dipetik pelancong, kalau lambat tinggal yang muda saja di pokok,” terangnya ramah. Memang pun ketika saya datang, payah untuk berjumpa buah yang masak lebat di tangkai, sudah habis dipetik orang lain rupa-rupanya.

Sebanyak-banyak gerai di CH, tiada yang menjual anak
pokok teh. Boleh???
Saya dan anak-anak ke Ladang Teh milik BOH berhadapan Kea Farm di pinggir jalan Brinchang-Kampung Raja. Mulanya suspens juga mencari Rose Valley. Wah, betul-betul ‘valley’ rupa-rupanya apabila menuruni bukit yang begitu curam! Saya hampir berpatah balik apabila tidak berjumpa Rose Valley. Sungguh ramai pelancong memborong sayuran tapi saya mencari anak pokok teh untuk ditanam di tepi pagar rumah.

“Tak pernah ada orang jual,” terang peniaga gerai bungaan. Setakat bunga kekwa, di Kuantan ada…. fikir saya. Saya juga tidak begitu berminat membeli sayuran yang berlambak kerana kepada saya, semuanya ada di Kuantan.

Sepokok spesies periuk kera lebih menarik perhatian saya, namun sepasu kecil harganya RM28. Lupakan saja… minta anak buah masuk hutan dan pasti saya akan dapat memiliki spesies itu.

Kawan-kawan mengirim strawberry. Nantilah… pulang ke Kuantan, saya akan dapatkan strawberry di Giant… ha ha ha! Bagaimanapun, kami sekeluarga memang makan strawberry sebanyak-banyaknya, mengambil kesempatan berada di tempat asalnya, tanah tinggi...:)

No comments:

Popular Posts